FAHAMI PEMERIKSAAN SUSULAN
Jika sampel ujian saringan serviks anda mengandungi Human Papilloma Virus (HPV), ini tidak bermakna anda mempunyai kanser serviks. Walau bagaimanapun, anda memerlukan pemeriksaan susulan bagi memastikan tiada perubahan sel yang berlaku di bahagian serviks. Prosedur yang akan dilakukan ialah kolposkopi.
Apakah itu kolposkopi?
Prosedur kolposkopi adalah seperti menjalani pap smear. Ia merupakan pemeriksaan serviks dengan menggunakan kamera khas yang dipanggil kolposkop. Ia memancarkan sinar cahaya ke dalam faraj dan ke arah serviks. Kolposkop mampu membesarkan pandangan biasa. Pemeriksaan ini membolehkan doktor memeriksa serviks secara terperinci.
Adakah keputusan "positif HPV" bermaksud saya ada kanser serviks?
Keputusan positif untuk HPV tidak bermakna anda mempunyai kanser serviks.
Jangkitan HPV adalah jangkitan yang sangat biasa. Walaupun ia boleh menyebabkan kes-kes kanser serviks, kebanyakan wanita yang dijangkiti HPV tidak akan menghidapi kanser serviks. Malah, lebih daripada 70 peratus wanita yang menerima ujian positif untuk HPV akan membersihkan jangkitan tersebut dan diuji negatif dalam masa dua tahun. Dalam kalangan 30 peratus selebihnya yang mendapat HPV positif, kebanyakannya akan membersihkan jangkitan tersebut lambat laun.
Sekiranya saya diuji positif untuk HPV, adakah rawatan susulan diperlukan?
Ya, pemeriksaan lanjut (kolposkopi) digalakkan. Kami menasihati wanita untuk melakukan pemeriksaan secara berkala kerana risiko anda lebih tinggi daripada wanita yang mempunyai keputusan HPV negatif. Walau bagaimanapun, hanya sebahagian kecil wanita dengan jangkitan HPV yang berterusan akan menghidapi kanser serviks pada suatu ketika. Tambahan pula, dengan ujian saringan secara berkala dan rawatan segera, kanser serviks boleh dicegah.
Apakah yang akan berlaku jika saya tidak menghadiri temujanji untuk menjalani kolposkopi?
Ianya bergantung kepada serviks anda. Sekiranya terdapat sel yang tidak normal, maka ia boleh menjadi kanser serviks. Sekiranya tiada sel yang tidak normal, maka tiada apa yang akan berlaku. Hanya satu cara untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam serviks anda adalah untuk menghadiri temujanji rawatan kolposkopi anda.
Bagaimanakah prosedur ini dilakukan?
Seperti pemeriksaan pelvik, anda akan baring di atas kerusi dan kaki anda akan dinaikkan dan diletakkan di alat sokongan kaki. Spekulum akan digunakan untuk menahan dinding faraj supaya bahagian dalam faraj dan serviks dapat dilihat. Kolposkop diletakkan di luar pembukaan faraj anda. Cecair akan disapukan pada serviks dan faraj anda dengan menggunakan kapas. Cecair ini memudahkan kawasan yang tidak normal di pangkal rahim untuk dilihat. Anda mungkin merasa sedikit tidak selesa.

Gambar menunjukkan prosedur kolposkopi. Didapati dari Imej Google.
SOALAN LAZIM
Bagaimanakah jika keputusan ujian saya positif HPV (mengandungi HPV)?
Anda akan menerima SMS yang menyatakan bahawa sampel ujian saringan serviks anda mengaundungi HPV. Sila hubungi nombor telefon dalam keputusan SMS anda untuk nasihat berkaitan pemeriksaan susulan.
Pap smear yang dijalankan baru-baru ini adalah normal mengapa saya mendapat keputusan yang tidak normal untuk ujian in?
Ujian HPV adalah ujian yang sangat sensitif untuk mengenal pasti risiko perubahan yang tidak normal pada bahagian serviks. Ujian HPV positif masih boleh berlaku dalam ketiadaan sel-sel yang tidak normal.
Perlukah saya risau?
Tidak, ujian HPV positif bermakna ujian saringan telah mengesan virus itu dan anda harus menjalani pemeriksaan lanjut untuk memeriksa bahagian serviks anda menggunakan alat khas iaitu kolposkop. Selalunya perubahan ini adalah perubahan kecil pada lapisan serviks dan tidak ada apa-apa keadaan yang serius (seperti kanser serviks). Kolposkopi dilakukan sebagai prosedur pesakit luar dan mengambil masa hanya 10-15 minit.
Kami ingin menekankan bahawa keputusan positif HPV tidak bermaksud kanser.
Sila tetapkan temujanji anda secepat mungkin dengan hubungi nombor telefon
dalam keputusan SMS anda untuk nasihat berkaitan pemeriksaan susulan.
Kami amat berbesar hati untuk membantu anda.